Puisi Lama Untuk Sang

0

sanghina Puisi Lama Untuk Sang Habib – 2009/09/08 18:11 Kalau mungkin bisa
kita bertebaran mencari secebis rasa pada tingginya langit dunia,
sudikah engkau memautku dengan tebaran redup sisir sayap cintamu?

Bicaraku,
Sesungguhnya seorang yang muhsin telah merajai akan wilayah cinta
Ilahi. Saat itu, siapa yang dicintai dan mencintai? Aku sedar, di
celahan masa itu, satu saat pada erti rindu membuatkan masa
menjadi kaku dan bunga-bunga kembali segar bagaikan tidak pernah
layu. Sebagaimana mekarnya, maka sucikanlah jiwamu daripada
ragu-ragu. Inilah satu suluhan pada menyaksikan akan jernihnya
hati apabila mengungkapkan kata dan memahami rasa cinta. Maka,
bebaskan segala ajsammu dan biarkan cahaya ini menyinari seluruh
sudurmu. Aku berkata, kekallah segala yang kekal dan fanalah
segala yang fana.

Bicaramu,
Lantas, aku menggapai nirmala. Menyaksikan akan terpancarnya
cahaya suci daripada lubuk hati yang satu, aku sebenarnya hanya
tunduk menyerah. Rasanya adalah rasa yang tidak berbunyi. Dan, aku
sesungguhnya mengharapkan engkau mengerti dengan faham yang
mutmainnah. Inilah rasa bagi diriku. Alangkah indahnya mahkotamu
wahai jiwa. Engkau telah menerima sejuta sentuhan daripada jiwa
suci dan engkau telah menceburkan diri ke dalam lazat-lazat
kejadian yang paling seni. Inilah sebagai galang ganti segala
jerih dan payah. Nah, ini sekeping hati buatmu.

Mengapa perlu ada derita ketika bulan melimpahkan cahaya?

Bicaraku,
Denyut-denyut nadi berima nan satu makin mencelikkan rasa. Sehirup
nafas, apakah bisa menceritakan segala rahsia. Sudah cukuplah
engkau sebagai pujangga berhiba. Engkau telah melafazkan sekian
banyak setia pada sebuah pualam jiwa. Namun, hasilnya telah
meninggalkan dirimu tanpa sebarang waris dan wasilah. Sebenarnya,
aku telah merasakan engkau telah bertaklid di atas sebuah wacana
yang bisa membuatkan mata hatimu menjadi buta. Inikah kehendakmu?
Tidak, aku yakin ianya bukan sepertimana mahumu. Engkau hanya
menginginkan sebuah hati yang rindu, katamu. Selamilah erti sebuah
mujahadah pada kalbu engkau dengan zikir yang tidak kunjung putus.
Inipun adalah pembukaan kepada hati yang sejahtera.

Bicaramu,
Dalam sebuah kesunyian tanpa ada padanya ruang-ruang lapang,
engkau perlu kepada tafakur. Engkau perlu bersunyi-sunyi dengan
jiwamu, kataku. Terjunkanlah dirimu ke dalam suasana bening kasih.
Temuilah Al-Wahid. Temukan cinta pada suatu sudut hatimu yang
sedang khusyuk beriktikaf. Kiranya, begitulah yang terbaik. Tiada
guna padanya akan suasana hiruk-pikuk hati, tetapi hatimu tetap
menangisi. Apa gunanya jika bibirmu menguntum senyum sedang hati
merudum terluka? Ini adalah suatu jalan pilihan. Ini adalah sebuah
tarekat cinta.

Bicaraku,
Sayugia, engkau menerima segala nasihat-nasihat daripada pembawa
jalan benar. Menabrak hati-hati ini dengan panah-panah bersalut
racun bisa. Tdak mungkin engkau mati, racun bisa itu kata mereka
adalah ujian sahaja. Semoga hatimu kalis kepada bisa-bisa. Ada
berapa lataif dalam lubuk hatimu? Berapakah arasynya yang telah
engkau singkap akan sirrnya? Sebaiknya engkau mengekali akan
sucinya latifah rabbaniyyahmu itu.Inilah ertinya engkau telah lama
mengenal akan cinta yang hak. Cuma, engkau telah lupa dan luput
akan cemerlang rasanya.

Bicaramu,
Hilang segala yang telah tersembunyi itu adalah sesuatu yang
biasa. Namun, bisakah engkau pada sesuatu yang adanya hanya pada
rasa yang tidak berbunyi? Namun, alam ini tidaklah pernah sunyi
daripadanya. Ini adalah kenyataan bagi sebuah makna ada. Lawannya
bagi tiada. Kita lihat pada sisi bertentangan. Untuk melihat pada
ujudnya, maka rasailah pada tiadanya. Hilangnya terasa, kan?
Mendambakan kasih pada hakikat cinta orang yang ruju , apalah
salahnya kiranya engkau memakai pakaian seorang darwisy? Maka,
tadahkan tempurung hatimu menerima dinar-dinar buat membeli cinta
hakiki.

Al-faqir itu tunduk memandang tempurung hatinya.
membilang-bilang dinar dan dirham zikir yang tidak putus-putus.
“Mengapa engkau tidak membeli pakaian baru dengan dinar dan dirham
itu?”
Al-faqir itu diam.
menerawang latifah rabbaniahnya bersama denting-denting dinar dan
dirham itu, persoalan itu tidak dihiraukannya.
“Mengapa engkau tidak membeli pakaian baru dengan dinar dan dirham
itu?”
Al-faqir bangun dan dia berhujah.
“Aku selamanya adalah seorang darwis, dan seorang darwis adalah
Al-faqir.
Engkau adalah Sang Raja, dan tidaklah aku menghinakan diriku
melainkan aku memuliakan DiriMU.

Bicaraku,
Aku adalah andika yang mencernakan segala kisah. Sedikit sahaja
yang terasa barangkali akan lazatnya. Tetapi, ini adalah panduan
jalan fikir buat yang mahu mengambil peduli. Gerak rasa dan tarian
hati ini tidak pernah akan terhenti. Meskipun demikian kisah, aku
tidak pernah peduli.Dalam melestarikan cinta dan kasih ini, aku
rela mati. Ambillah jasadku, tetapi jiwa ini bebaskanlah. Aku
hanya punya jiwa ini buat dirinya.

Bicaramu,
Waspadalah terhadap segala ghair dan ghayyah. Ini adalah suatu
rintangan yang menghalang kepada sampainya hatimu kepada suatu
pertemuan hakiki. Mungkin erti semuanya telah berganjak daripada
hasrat yang asal. Sudah menjadi begitu berbeza. Apakah nilaian
paling adil? Ertinya pada kesudahan untuk segala kisah? Engkau
bungkam dan aku diam. Masing-masing terpaku pada paksi-paksi
sendiri. Sudah begitu takluknya akal, maka apa yang masih tersisa?
Kelak, moga-moga kita mengerti bahawa di sebalik tadbir itu adanya
takdir. Suatu ketentuan yang mutlak pada hakikatnya. Di sini,
pasrah tidak bererti cinta telah mulai goyah. Inilah al-hikmah dan
suatu nikmat bagi jiwa-jiwa yang mengalami ekstasi cinta. Tentu,
bukan calang-calang jiwanya. Pastilah mereka yang telah mencapai
al-maqsudul haq ini telah benar-benar mempunya al-haqqul maqsud.

Bicaraku,
Membiarkan segalanya menjadi kaku adalah bukan pilihan. Petualang
itu sebenarnya adalah rasa pada diri sendiri. Tentunya engkau
pernah mengalami amukan rasa. Pelukan rasa terkadang perlu
dilepaskan. Sama ada dia melepaskanmu atau engkau sendiri
merungkaikannya dengan penuh rasa rela. Benar dan alangkah benar.
Sang hujan menyuburkan. Sang hujan membinasakan. Tapi, akan
binasakah mereka yang tabah hati? Sedar akan mereka itu akan sinar
mentari. Aku yakin dengan yakin yang hak. Rencam dalam duniamu,
tidaklah mengundang sebarang waham. Aku terfikir untuk untuk
memperhatikan akan hal itu. Bicarakah hatimu dengan erti setia dan
rindu? Sepertinya, segalanya seakan terhenti dan engkau telah
tersyuhud pada erti cinta sebenar. Apakah telah hilang dahaga pada
seorang pengembara?

Bicaramu,
Telah aku bersuara dengan kata-kata yang ada pada jiwa. Sejujur
dan seadilnya. Maka, abadikanlah dalam tafakur akan segala
kalimah. Dekat dan semakin mendekat jiwa kita, segala faham telah
menjadi satu. Ini adalah asas kepada wujudnya erti cinta. Kita
tidak akan membiarkan sedetik menjadi sia-sia. Tetapi, biarlah
setiap satunya menjadi saksi dan terus kekalnya ia pada keadaan
sempurna. Sesudah engkau berupaya mencipta pada satu titik
sediakala, ini masanya untuk terus mengujakan rasa. Demikian
adanya, sesiapa yang bisa menyirat segala jalinan rasa.

Bicaraku,
Hakikatnya engkau telah memandang akan adanya pengabdian dalam
mempamerkan keikhlasan. Telah engkau dikhabarkan dengan keperluan
bermujahadah. Pertegakkanlah jiwamu. Jangan sesekali engkau
tertewas pada kemilau pedang-pedang tajam pada jalan ini.
Sesungguhnya, pada jalan ini telah tersedia seribu satu
pertolongan dan seribu satu pengharapan. Ini bukanlah jalan untuk
si pengecut.

Bicaramu,
Sedaya upayamu engkau telah cuba memartabatkan kejilahan ini
sekian abad waktu. Tiada yang menyalahi segala yang telah engkau
jalani, kecuali pada orang-orang yang munafik jiwanya akan
mencerca. Tetapi, tidak mengapalah. Mereka selamanya tidak akan
bisa memahami. Engkau hanya melakonkan cerita menurut setiap watak
dan peranan. Maka, biarkanlah mereka dengan watak dan peranan
mereka. Moga-moga, mereka ditemukan dengan erti sebuah taubat.

Orang mencari dan mengenal erti atas dasar sendiri-sendiri
Hidup tanpa hidup adalah mati
Nyata dalam pentafsiran hakiki tentang maksud keempunyaan dan
serah-kembali
Manusia sewajibnya diajar tentang menjalani kesempurnaan
Mengangkat darjat diri ke makam agung
Mentahkik yang setitik dari mana asalnya dan ke mana tempat
kembali.

Belajar dan menerima faham daripada kurnia dan anugerah
Atas campakan taufik dan hidayah ke dalam qalbu manusia
Setelah itulah engkau diiktiraf sebagai manusia-manusia yang yakin
dan percaya.

Bicaraku,
Jikalau hendak kugapai sejuta makna dalam keagungan makrifat,
rasanya tidak ada jalan senang. Maka, tabahkanlah jati dirimu
dengan rela. Relakah engkau memberikan jiwa pada kata-kata?
Sesungguhnya, segala kesucian tidak akan menempati ruang-ruang
yang kotor dengan mazmumah. Sewajarnya, bejana hatimu itu perlu
kepadanya akan suci. Carilah air zam-zam murni dari kolam airmata
pada kedua-dua matamu. Inilah air mutlak buatmu berwuduk. Wuduklah
dengan wuduk yang sempurna. Hadapkanlah wajahmu ke arah kiblat
cinta dengan rasa penuh khusyuk dan ikhlas. Moga-moga wajahmu
dipandang oleh Sang Kekasih dengan penuh tertawa.

↓ =ARSIP-nickname=topick=date→importby:carauntuk.com→for-educational-purpose= ↓

sumber
http://arsip.majelisrasulullah.org/index.php?option=com_simpleboard&Itemid=34&func=view&id=23828